Thursday, 2 October 2014
Friday, 26 September 2014
KEADAAN CUACA HUJAN LEBAT DAN JALAN YANG LICIN MERAGUT TIGA NYAWA
KUANTAN - Perjalanan pulang tiga anggota tentera dari arah bandar
Kuantan ke Kem Batu 10 dekat sini berakhir tragedi apabila tiga daripada
mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebatang
pokok dalam kemalangan di Batu 3, Jalan Kuantan- Gambang, di sini, malam
tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.55 malam itu, kereta jenis Honda
Ferio dinaiki mangsa terhumban ke dalam parit dan terputus dua
menyebabkan kesemua mangsa tercampak manakala tiga daripada mereka
disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang maut dikenali sebagai, Mohd Fahmi Jap, 23 berasal dari Kg
Bencang Becah, Kupang, Baling, Kedah, Mohd Ilias Abu Seman, 23 dari Kg
Alor Ann,
Pendang, Kedah dan Mohd Faizal Zainol, 26, dari Kuala Trong,Trong, Perak.
Manakala pemandu kereta, Shamzuri Awang, 23, dari Kg Tunjong Bt 5 ½ ,
Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku
Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Deputi,
Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian kesemua
mangsa yang menaiki kereta jenis Honda itu dalam perjalanan dari bandar
ini pulang ke Kem Batu 10, di sini.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki
dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh
sebatang pokok dan masuk ke dalam longkang.
"Rempuhan kuat menyebabkan kereta tersebut terputus dua dan kesemua
mangsa tercampak keluar secara berasingan menyebabkan tiga daripada
mereka maut serta merta di tempat kejadian," katanya.
Mohammad Noor berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku
dalam keadaan cuaca hujan lebat dan permukaan jalan yang licin.
“Kita percaya kereta terbabit hilang kawalan akibat jalan licin
bagaimanapun punca sebenar kemalangan yang meragut tiga nyawa anggota
tentera ini masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1)
Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang maut di bawa ke HTAA Kuantan untuk
bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut dan dibawa pulang ke
kampung halaman untuk dikebumikan.
Difahamkan kesemua mangsa masih bujang dan mula bertugas dalam pasukan
itu antara 2008 hingga 2011
MARI BERAMAI-RAMAI KITA SEDEKAHKAN AL-FATIHAH KEPADA MANGSA.
AL-FATIHAH...........
Subscribe to:
Posts (Atom)